CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat
mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut,
ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta
menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.
Lafaz ‘AKU CINTA PADAMU’ atau ‘I LOVE YOU’ sudah tidak
menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya.
Pendek kata ungkapan ‘AKU CINTA PADAMU’ sudah jadi sebutan plastik yang lahir
di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati.
Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah
dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?
Memanglah begini jadinya kerana ramai yang
belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga,
mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya.
Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta
emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.
Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami
dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh
tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal.
Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya,
hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak
bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta
fizikal.
Pertemuan yang kerap sepasang kekasih,
berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling
bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah
dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari
situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah
lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.
Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak
terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak
diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang
dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum
cinta fizikal dan cinta emosional.
Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin
dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut
perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana
itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta
spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.
Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu
harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru
itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia
goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan
berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk
menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.
Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh
Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat.
Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita
selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta,
tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke
denai-denai di hati.